KUALA LUMPUR, 21 Mac 2025 – Pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 secara one-off oleh kerajaan mendapat sambutan positif daripada para penjawat awam, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Bantuan ini dilihat amat membantu dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, termasuk keperluan seperti pakaian, makanan, serta kos pengangkutan dan perjalanan balik kampung.
Reaksi Syukur & Lega Dari Penjawat Awam
Farra Jalil
“Bantuan RM500 ini sangat membantu saya dalam membuat persiapan Aidilfitri terutama dari segi pakaian dan pengangkutan. Ia meringankan perbelanjaan petrol dan tol. Terima kasih kepada kerajaan.”
Audi Mohd Nor
“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan Aidilfitri ini. Sedikit sebanyak, ia meringankan beban terutamanya bagi saya yang akan pulang beraya ke kampung tahun ini.”
Mazlina Baharom
“Bukanlah kita mengharapkan, tetapi apabila menerima bantuan ini, saya sangat bersyukur. Ia amat membantu.”
Rizal Jumaat
“Bonus raya ini memang sangat membantu. Setiap tahun kami mengharapkan bantuan ini untuk persiapan saat akhir termasuk pemberian duit raya.”
Lalu Ihsan Hunain
“Lebih-lebih lagi bagi saya yang pulang ke Sabah, yang mana perbelanjaan lebih tinggi. Bantuan ini sangat melegakan.”
Perincian BKK Aidilfitri 2025
- RM500 untuk penjawat awam Gred 15 ke bawah
- RM250 untuk semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen
- Bayaran akan dibuat mulai minggu depan
- Peruntukan keseluruhan mencecah RM900 juta
Langkah ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan menghargai jasa penjawat awam serta pesara yang telah berkhidmat untuk negara.
Artikel ini dipetik dan diolah dari RTM.