JAKARTA, 21 Mac – China menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan memberi keutamaan kepada pemeteraian Protokol Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) sebagai langkah penting memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Duta Besar China ke ASEAN, Hou Yanqi berkata, Beijing menyokong sepenuhnya tema Malaysia iaitu Inklusiviti dan Kelestarian, serta mengiktiraf peranan utama negara itu dalam memperkukuh hubungan ASEAN-China.
“Penandatanganan ACFTA 3.0 akan menjadi antara keutamaan utama kerjasama dua hala tahun ini,” katanya dalam sesi China-ASEAN Media and Think Tank Salon yang berlangsung di Jakarta, Jumaat.
Menurut Hou, China memainkan peranan aktif dalam rundingan ACFTA 3.0 dengan mencadangkan teks piawaian tinggi dalam sektor ekonomi digital, ekonomi hijau dan keterhubungan rantaian bekalan. Negara itu turut menganjurkan pelbagai bengkel, dialog, dan program pembangunan kapasiti bagi membantu negara anggota ASEAN memahami potensi kerjasama dalam bidang-bidang baharu ini.
Beliau menekankan bahawa ASEAN dan China menunjukkan iltizam politik yang kukuh untuk memuktamadkan perjanjian yang bakal memberi manfaat menyeluruh kepada lebih dua bilion penduduk di rantau ini.
China juga mengulangi komitmen terhadap integrasi ASEAN serta usaha merapatkan jurang pembangunan serantau, khususnya menerusi inisiatif Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) — kerangka kerjasama subserantau terbesar di bawah ASEAN.
“China akan meningkatkan pelaburan dalam BIMP-EAGA, menyokong peranan Malaysia dan melaksanakan projek-projek kerjasama di bawah Pelan Tindakan Kerjasama China-BIMP-EAGA 2020-2025,” katanya.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-20 China sebagai rakan pembangunan BIMP-EAGA, manakala tahun hadapan bakal menyaksikan ulang tahun ke-5 perkongsian strategik menyeluruh ASEAN-China.
Di tengah ketidaktentuan global, Hou menegaskan komitmen jitu China untuk terus menjadikan ASEAN keutamaan dalam diplomasi kejiranan, sambil menyokong pembinaan komuniti ASEAN yang bersepadu dan kukuh.
“Kami bersedia bekerjasama dengan ASEAN untuk membina ‘Lima Rumah’ iaitu kedamaian, ketenteraman, kemakmuran, keindahan dan persahabatan,” katanya penuh keyakinan.
Artikel ini dipetik dan diolah dari https://asean.bernama.com/news.php?id=2404971