KOTA KINABALU, 17 Mac – Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan sekali lagi menyuarakan sokongan penuh terhadap cadangan pelaksanaan IC Sabah, dengan menegaskan bahawa tiada undang-undang yang menghalang perkara tersebut daripada direalisasikan.
Menurut beliau, sudah tiba masanya Sabah diberi kuasa penuh untuk menapis dan mengesahkan identiti warga asalnya sendiri, khususnya dalam hal berkaitan imigresen, kewarganegaraan, dan buruh — satu langkah penting dalam memperkukuh hak negeri selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Secara peribadi, saya masih berpendapat kita patut melaksanakan IC Sabah. Ia boleh dilakukan kerana tiada undang-undang yang menghalang kita. Ia akan membezakan kita daripada warganegara lain dan membolehkan kita menguatkuasakan undang-undang anak negeri dan imigresen,” katanya dalam satu temubual di Kota Kinabalu.
Jeffrey turut menegaskan bahawa pelaksanaan IC Sabah akan membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan yang meragukan akibat ‘Projek IC’ pada era 1970-an, yang menyaksikan dakwaan pemberian kewarganegaraan secara rahsia kepada pendatang demi tujuan politik.
Katanya, Sabah boleh membangunkan sistem pendaftaran warga negeri tersendiri menerusi mekanisme akar umbi — dengan pengumpulan data biometrik dari kampung ke kampung, serta pengesahan identiti oleh ketua anak negeri.
“Orang kampung akan tahu siapa yang menjadi sebahagian daripada komuniti mereka, dan ini perlu disahkan oleh ketua anak negeri. Ia sepatutnya lebih mudah dengan pendigitalan maklumat. Untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, kita boleh melaksanakan proses kelulusan tiga lapisan,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa jika kerajaan persekutuan boleh mengeluarkan visa, MyKad dan kad debit, maka tidak mustahil Sabah boleh mengeluarkan IC Sabah sebagai dokumen rasmi identiti negeri.
Jeffrey Kitingan, yang juga dikenali sebagai pejuang gerakan Sabah-centric dan pendokong Hari Sabah, melihat IC Sabah sebagai satu mekanisme penting untuk melindungi identiti rakyat tempatan serta menjamin agihan sumber negeri kepada mereka yang benar-benar layak.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Jeffrey G. Kitingan Page