Jepun Lulus Cukai Penginapan di 11 Lagi Kawasan – Pelancong Bakal Bayar Lebih Mulai Musim Luruh Ini!

TOKYO, 21 Mac – Ketika sektor pelancongan Jepun terus meledak pasca pandemik, kerajaan negara itu kini meluluskan pelaksanaan cukai penginapan di 11 lagi kawasan baharu bermula musim luruh tahun ini.

Langkah ini diumumkan selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Seiichiro Murakami, memberi kelulusan kepada dua wilayah – Miyagi dan Hiroshima, serta sembilan bandar lain termasuk lima di Hokkaido, dua di Gifu, dan masing-masing satu di Miyagi dan Shimane.

Langkah terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kerajaan tempatan yang menerima kelulusan untuk melaksanakan cukai penginapan meningkat kepada 24 kawasan.

Antara destinasi pelancongan terkenal yang terlibat termasuk Otaru di Hokkaido, dikenali dengan keindahan terusan ikoniknya, dan Gero di Wilayah Gifu yang masyhur dengan resort air panas semula jadi.

Baca Juga  China Sedia ‘All Out’ Sokong Malaysia Terajui ASEAN 2025, Fokus Tandatangan ACFTA 3.0!

Cukai penginapan ini akan dikenakan antara 100 yen (RM3.15) hingga 500 yen (RM15.75) seorang bagi setiap malam, bergantung kepada ketetapan setiap kawasan. Namun begitu, pelajar yang menyertai lawatan sekolah akan dikecualikan daripada bayaran ini.

Hasil kutipan cukai ini akan disalurkan untuk menyokong industri pelancongan tempatan serta menangani isu overtourism yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan tumpuan.

Sejak Tokyo memperkenalkan cukai penginapan pada tahun 2002, semakin banyak kerajaan tempatan mengambil langkah serupa. Kini antara kawasan yang sudah melaksanakannya termasuk Osaka, Kyoto, dan tidak lama lagi, Atami di Wilayah Shizuoka (April) serta Akaigawa di Hokkaido (November).

Malah, Kyoto yang terkenal dengan limpahan pelancong setiap tahun, merancang untuk meningkatkan kadar maksimum cukai penginapan dari 1,000 yen kepada 10,000 yen dalam sistem cukai tiga peringkat sedia ada.

Baca Juga  Tesla Tarik Balik Sebahagian Besar Cybertruck – Panel Luar Boleh Tercabut Semasa Memandu!

Artikel ini dipetik dan diolah dari https://bernama.com/en/world/news.php?id=2404943

scroll to top