KOTA KINABALU – “Kalau lah aku ada RM1-2 juta dalam akaun…” – begitulah luahan penuh makna dari pelakon terkenal Sabah, Ebi Kornelis, yang berkongsi realiti sebenar di balik tabir industri filem tempatan, khususnya di Sabah.
Dalam satu hantaran media sosial yang mencuit hati dan penuh sindiran, Ebi mengajak pengikutnya berangan – apa yang mereka akan lakukan jika memiliki RM1 juta dalam akaun. Tapi katanya, satu perkara yang dia pasti tidak akan lakukan ialah membuat filem sendiri.
“Pulangannya belum tentu balik. Lepas tu bikin stress, bergaduh pasal payment, makan, tempat tinggal… macam-macam hal!”
Ebi turut membandingkan pengalaman produksi luar yang datang ke Sabah dan hanya dikenakan sogit dua ekor ayam — satu insiden yang kini katanya “macam masuk sejarah Sabah sudah ni.” Beliau menyindir bagaimana bayaran pelakon hanya dibayar berdasarkan ‘performance’ dan mendakwa pengarahnya adalah TS Jeffry (yang menurutnya belum dapat dipastikan kesahihannya).
Lebih memilukan, ketika produksi filem mereka sedang berlangsung, tiba-tiba dilaporkan kepada MKN oleh seorang individu tempatan sendiri yang digambarkan secara sinis sebagai “DJ kurang tinggi orangnya, yaww yaw yaw dia bilang”.
“Orang tempatan sendiri yang repot. Dia mahu wayang Sabah ni ada wayang bangsa dia saja kali,” luah Ebi dengan nada kecewa.
Nasib baiklah, katanya, terdapat pemimpin-pemimpin yang bijaksana dan membuat keputusan adil, membolehkan penggambaran mereka diteruskan.
Beliau turut menyentuh tentang prestasi kutipan filem Sabah yang dikatakan masih rendah – “paling tinggi pun 230k kutipan,” sedangkan banyak produksi berpengkalan di Sabah masih berjuang mencari tempat.
Namun dalam kekalutan itu, Ebi turut menghargai pengalaman bekerjasama dalam telemovie “Puteh Pasir Mantanani” — satu-satunya projek yang memberinya ruang menyerlah hingga berjaya tercalon Top 5 Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Seri Angkasa.
Luahan jujur Ebi ini bukan sekadar angan-angan tentang sejuta ringgit, tetapi refleksi pahit manis dunia hiburan di Sabah yang masih penuh cabaran, namun tidak pernah padam semangatnya.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Facebook Ebi Kornelis