Kerajaan Sabah Umum Bantuan RM300 Sebulan & 3,000 Rumah Baharu Untuk Miskin Tegar!

TUARAN – Golongan miskin tegar di Sabah bakal menikmati pelbagai inisiatif baharu apabila Kerajaan Negeri mengumumkan langkah drastik memperhebatkan bantuan kebajikan termasuk pemberian tunai bulanan RM300 selama setahun serta pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bagi tahun 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata seramai 100,000 penerima akan menerima manfaat bantuan tunai ini sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup golongan paling terkesan.

“Kerajaan Negeri juga meneruskan program pembinaan rumah kediaman kepada golongan miskin tegar termasuk inisiatif pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR),” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Istiadat Daerah Tuaran.

Subsidi Tiket Kapal Terbang Untuk Pelajar Sabah

Hajiji turut mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan untuk pulang beraya ke kampung halaman.

Baca Juga  100 Pelajar SK Termunong Tuaran Dirai – Beliawanis Gagasan Rakyat Sulaman Hulur Bantuan Raya!

Bagi pelajar IPT dalam negeri, bantuan RM300 seorang turut diperuntukkan sebagai sokongan tambahan.

Biasiswa Dinaikkan Daripada RM50 Juta ke RM128 Juta

Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, peruntukan biasiswa Kerajaan Negeri turut dinaikkan kepada RM128 juta berbanding RM50 juta tahun lalu. Tahun 2024 sahaja menyaksikan sekitar RM470 juta dibelanjakan untuk pendidikan dan pembangunan anak Sabah.

Pengiktirafan Kepimpinan Nasional

Hajiji juga memuji pencapaian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengembalikan reputasi Malaysia di persada antarabangsa serta menarik pelaburan asing bernilai ratusan bilion ringgit.

“Pertumbuhan ekonomi negara kini berada di landasan yang tepat dan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membuktikan keyakinan dunia terhadap kepimpinan negara,” katanya.

Perpaduan Jadi Teras Kekuatan Sabah

Dalam ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa toleransi, keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama di Sabah menjadi tonggak utama kekuatan negeri ini. Majlis berbuka puasa turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam sebagai simbol kebersamaan.

Baca Juga  Sensasi Lasak di Kundasang! Pengalaman ATV & Paragliding yang Wajib Anda Cuba

Terdahulu, Hajiji dan Anwar meluangkan masa melawat tapak Jualan Rahmah serta menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Sabah di Pejabat Daerah Tuaran.

Artikel ini dipetik dan diolah dari Sabah Media

scroll to top