Kontroversi Masjid Jakel vs Kuil 130 Tahun: Siapa Pemilik Sebenar Tanah Ini?

KUALA LUMPUR – Isu pertikaian antara pembinaan Masjid Jakel dan kewujudan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman terus mencetuskan perdebatan apabila kedua-dua pihak berpegang teguh kepada hak masing-masing terhadap tanah di Jalan Masjid India.

Tanah ini pada asalnya milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dijual kepada Kumpulan Jakel pada tahun 2014. Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad, pengasas syarikat tekstil terkenal itu, kemudiannya mewakafkan tanah tersebut untuk membina sebuah masjid tiga tingkat dengan sub-basement bagi kegunaan masyarakat Islam di kawasan tersebut. Projek ini telah mendapat kelulusan pembangunan sejak tahun 2020.

Namun, pembinaan masjid berkenaan tertangguh selama lebih 10 tahun kerana pihak Jakel mengambil pendekatan diplomasi dengan tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mengosongkan tapak kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut.

Menurut Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, tanah itu kini adalah hak milik Jakel dan telah diwakafkan secara sah.

Baca Juga  ‘Raya Ria’ Cipta Fenomena – Tarian Cina, Irama Melayu, Semangat Perpaduan Malaysia

“Tanah ini bukan lagi milik DBKL. Ia telah diwakafkan oleh pengasas Jakel untuk pembinaan masjid dan telah mendapat kelulusan. Namun, kami menghormati kewujudan kuil dan tidak membawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Di pihak pengurusan kuil, mereka tetap bertegas untuk terus kekal di lokasi tersebut dan mencadangkan agar masjid dibina di lokasi lain atau bersebelahan kuil sebagai simbol toleransi kaum.

“Kami tidak menolak pembinaan masjid, malah kami menyokongnya. Tetapi mengapa kuil yang sudah berusia lebih 130 tahun ini perlu dipindahkan? Jika masjid dibina bersebelahan, ia akan menjadi simbol harmoni di Malaysia,” kata Presiden kuil, Barthisan Kanmani dalam satu sidang media.

Baca Juga  Tan Boon Heong Bersuara – Dedah Realiti ‘Pahit Manis’ Beregu Badminton, Pesan Jangan Cepat Menyalahkan Pasangan!

Bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, yang kini mewakili pihak kuil, mendakwa bahawa pihak kuil tidak pernah dimaklumkan tentang penjualan tanah itu oleh DBKL sehingga dua tahun selepas ia berlaku.

Bagaimanapun, pihak Jakel menegaskan bahawa mereka hanya mahu menunaikan amanah wakaf yang ditinggalkan oleh pengasas syarikat itu serta memastikan masyarakat Islam di kawasan tersebut mendapat kemudahan ibadah yang lebih selesa.

Majlis pecah tanah pembinaan masjid ini dijadualkan berlangsung pada 27 Mac 2025, sebagai bukti komitmen Jakel terhadap pelaksanaan projek tersebut.

Namun, persoalan utama terus bermain di fikiran ramai – jika tanah ini sah milik Jakel dan telah diwakafkan secara sah untuk pembinaan masjid, adakah wajar ia dipertikaikan?

Artikel ini dipetik dan diolah dari Zack The Dragon Steamboat Page

scroll to top