Persatuan Sukan Sabah Diseru Laksana Program Dengan Penuh Komitmen – Ellron

KOTA KINABALU, 14 Mac 2025 – Semua persatuan sukan di bawah naungan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah diseru untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan atlet dengan penuh komitmen serta menggunakan peruntukan secara efisien dan bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, menegaskan bahawa geran tahunan yang diberikan kerajaan negeri mesti digunakan dengan berintegriti, bagi memastikan kemajuan sukan di Sabah terus berkembang.

“Jangan sesekali mensia-siakan jumlah peruntukan yang diberikan kerana wang ini adalah amanah rakyat yang amat berharga,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, semasa Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kebangsaan/Antarabangsa 2024 dan Penyerahan Geran Tahunan Persatuan Sukan Negeri 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Baca Juga  Tan Boon Heong Bersuara – Dedah Realiti ‘Pahit Manis’ Beregu Badminton, Pesan Jangan Cepat Menyalahkan Pasangan!

Geran Tahunan RM3 Juta Kepada 51 Persatuan Sukan

Untuk tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah mengekalkan peruntukan RM3 juta, yang diagihkan kepada 51 persatuan sukan berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan.

Ellron menekankan bahawa semua permohonan geran perlu melalui Tatacara Penyaluran Geran Tahunan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan peruntukan digunakan secara telus dan berkesan.

Insentif RM502,950 Untuk Atlet Berjaya

Majlis ini turut menyampaikan skim insentif kemenangan bagi meraikan kejayaan atlet dalam kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2024.

Jumlah insentif yang diberikan adalah sebanyak RM502,950, yang dipecahkan kepada dua kategori:

  • Insentif atlet sukan ‘able’ (atlet normal) – RM237,600
  • Insentif atlet PARA (orang kurang upaya – OKU) – RM265,350
Baca Juga  Anak Muda Penentu Masa Depan Politik Sabah – Musli Oli Hadiahkan Buku Bernilai Ilmiah

Ellron menyifatkan pemberian insentif ini sebagai pelaburan berbaloi bagi menarik minat anak-anak muda Sabah untuk bergiat aktif dalam sukan.

“Kerajaan Sabah komited melahirkan ‘Atlet Bertaraf Dunia’ serta membina generasi muda yang lebih berkualiti, berdisiplin dan bersemangat patriotik melalui sukan,” katanya.

Sukan Sebagai Landasan Pembentukan Sahsiah

Beliau turut mengingatkan bahawa penyertaan aktif dalam sukan bukan sahaja mencipta kejayaan di peringkat pertandingan, tetapi juga membentuk keperibadian seperti disiplin, semangat juang, dan keupayaan bekerja dalam pasukan.

Dengan peruntukan yang diberikan, kerajaan berharap semua persatuan sukan Sabah dapat melaksanakan program dengan lebih efektif, sekaligus memperkukuh legasi sukan negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel ini dipetik dan diolah dari Sabah Media.

scroll to top