KOTA MARUDU – Pemilihan Ketua Cabang PKR Kota Marudu bagi sesi kepimpinan 2025-2028 semakin hangat dengan empat calon utama merebut jawatan berprestij ini. Tumpuan kini terarah kepada Zaidi Jatil, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, yang tampil dengan gagasan politik berteraskan idealisme dan nilai sebagai asas kepimpinannya.
Zaidi menegaskan bahawa pendekatan politik yang berorientasikan populariti semata-mata tidak akan membawa perubahan yang berkesan dalam kepimpinan parti. Menurutnya, masa depan politik negeri harus diasaskan kepada kefahaman mendalam tentang reformasi dan prinsip perjuangan parti.
“Gagasan ini menekankan kepentingan mengangkat politik idealisme dan nilai supaya parti terus berkembang dan semakin kukuh,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa anggota parti, terutama golongan muda dalam AMK, harus memahami perjuangan reformasi yang menjadi nadi kepada penubuhan PKR. Dengan kesedaran ini, mereka akan lebih menghargai serta mempertahankan prinsip parti, meskipun berlaku perubahan kepimpinan di peringkat tertinggi.
Sebagai sebahagian daripada kempen pemilihan PKR Cabang Kota Marudu, satu Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan telah diadakan di Marudu Inn pada Selasa. Acara ini dihadiri beberapa pemimpin utama, termasuk Zaidi Jatil serta Pemangku Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Datuk Seri George Rumunsai.
Pelancaran manifesto ini menjadi medan penting bagi calon-calon untuk memperkenalkan visi serta strategi mereka dalam membawa parti ke hadapan.
Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan empat penjuru yang dijangka sengit antara calon-calon berikut:
✅ Zaidi Jatil – Ketua AMK Sabah
✅ Sazalye Donol Abdullah – Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Sabah
✅ Jasmon Jaji
✅ Jolius Majawai
Dengan persaingan yang semakin memuncak, pemilihan ini bakal menjadi titik penentu dalam hala tuju kepimpinan PKR Kota Marudu. Keputusan ini bukan sekadar memilih seorang ketua, tetapi juga menilai siapakah yang mampu menerajui cabang ini dengan prinsip idealisme dan reformasi yang kukuh.
Artikel ini dipetik dan diolah dari My Marudu