KOTA KINABALU – Skuad bola sepak wanita Sabah kini tampil dengan nafas baharu menjelang saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, selepas memperkenalkan tiga pemain baharu termasuk dua bintang muda berusia 15 tahun, Nina Hasmaji dan Chelsea Leona Julius.
Perkembangan ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy Rumsani yang menyifatkan kemasukan pemain muda tersebut sebagai langkah strategik untuk memperkukuh barisan pertahanan skuad wanita negeri itu.
Menurut beliau, kedua-dua pemain muda itu telah diserap ke pasukan senior sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan skuad yang kini dalam fasa persiapan rapi menghadapi musim baharu.
“Kita menyerap masuk beberapa pemain muda berbakat berusia 15 tahun ke dalam skuad senior, antaranya Nina Hasmaji dan Chelsea Leona,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan KK Teda Sosial League 2025 semalam.
Selain dua pemain muda, seorang lagi pemain berpengalaman turut diperkenalkan, menjadikan keseluruhan tiga muka baharu yang dimasukkan ke dalam skuad bagi musim ini.
Namun, Sabah turut mengekalkan kekuatan sedia ada apabila 26 pemain daripada musim lalu dikekalkan, menandakan keyakinan terhadap barisan pemain yang telah menunjukkan komitmen tinggi sebelum ini.
Arziz turut menyatakan bahawa gabungan antara pemain muda dan senior akan mencipta dinamik baharu dalam pasukan dan diyakini mampu mencabar mana-mana pasukan dalam LWN 2025.
Langkah berani Sabah memberi ruang kepada pemain muda dilihat sebagai satu lonjakan positif dalam pembangunan bola sepak wanita negeri ini, sekaligus membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah di pentas nasional.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Sabah Media