KOTA BELUD – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, mengajak seluruh rakyat khususnya di Sabah agar mengambil kesempatan Ramadan sebagai ruang untuk muhasabah diri, memperbaiki akhlak dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
Dalam satu hantaran di media sosial susulan majlis berbuka puasa bersama penduduk Kota Belud, Shafie merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, termasuk mereka yang datang dari pulau-pulau jauh.
“Bulan Ramadan ini bukan sekadar menahan lapar, tapi masa untuk kita muhasabah diri. Latih hati untuk ikhlas, tahan nafsu, jujur dalam setiap perbuatan. Walaupun tiada siapa nampak, Allah sentiasa tahu,” katanya.
Beliau turut menyeru agar ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak supaya bukan sahaja mengejar kejayaan dunia, tetapi turut menekankan nilai akhlak dan ilmu untuk akhirat.
“Bimbing anak-anak agar menjadi insan yang berakhlak dan berilmu. Peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan generasi masa depan tidak hanyut dalam arus duniawi,” tambahnya.
Shafie turut menzahirkan rasa syukur apabila majlis berbuka puasa itu turut dihadiri oleh sahabat dari pelbagai latar agama, memperlihatkan semangat perpaduan dan keharmonian yang tinggi.
“Islam ajar kita hormat, bukan hina agama orang lain. Kita jaga adab, mereka pun akan hormat kita,” ujarnya sambil memetik Surah al-An’am ayat 108 yang menegaskan larangan mencaci agama lain agar agama sendiri tidak dicaci.
Beliau menegaskan bahawa aspek toleransi dan saling menghormati adalah asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, khususnya di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
“Semoga Ramadan ini membawa keberkatan buat kita semua,” akhirinya dengan penuh harapan.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Facebook Shafie Apdal