Tan Boon Heong Bersuara – Dedah Realiti ‘Pahit Manis’ Beregu Badminton, Pesan Jangan Cepat Menyalahkan Pasangan!

Bekas pemain badminton kebangsaan, Tan Boon Heong, tampil memberikan pandangan jujur dan pengalaman peribadi mengenai isu semasa membabitkan beregu campuran negara yang dikatakan berdepan pergolakan hubungan selepas disingkirkan daripada kejohanan All England baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang tular di media sosial, Boon Heong menyentuh mengenai perubahan ketara di media sosial salah seorang pemain yang dikatakan memadam semua gambar-gambar lama, sekali gus mencetuskan spekulasi netizen bahawa pasangan beregu itu telah bergaduh atau tidak sehaluan.

Namun menurut beliau, apa yang berlaku bukanlah perkara baharu dalam dunia sukan, malah turut berlaku kepada juara Olimpik sekalipun.

“Setiap atlet ada fikiran dan karakter yang berlainan. Dalam beregu, memang normal kalau satu pasangan beraksi baik, dan satu lagi kurang menjadi. Yang penting, kena saling beri galakan dan sokongan moral,” katanya.

Tan Boon Heong berkongsi bagaimana tidak semua pasangan beregu tinggal sebilik atau serumah, dan mereka juga jarang bersosial bersama. Ini menurutnya adalah realiti dunia beregu, bukan kerana tiada persefahaman, tetapi kerana setiap individu punya pendekatan dan keperibadian berbeza.

Baca Juga  Kontroversi Masjid Jakel vs Kuil 130 Tahun: Siapa Pemilik Sebenar Tanah Ini?

Beliau turut menasihatkan agar jangan cepat menyalahkan pasangan apabila kalah, sebaliknya penting untuk saling memahami, bertimbang rasa dan menghargai satu sama lain.

“Dulu saya pun pernah fikir, tanpa awak, aku dengan orang lain pun boleh main bagus. Tapi lepas berpisah dan gagal dengan pasangan baru, baru saya sedar, yang lama itulah sebenarnya paling sesuai. Tapi masa tu dah terlambat,” katanya sambil mengakui betapa pentingnya memanfaatkan waktu singkat dalam kerjaya atlet.

Beliau mengakhiri pesanan dengan harapan agar pasangan beregu negara tidak cepat goyah dengan kekalahan dan kembali bangkit bersama, mengingatkan bahawa tempat ketiga dunia bukan sesuatu yang mudah dicapai, dan kerjasama adalah kunci kejayaan.

Baca Juga  Sabah FC Bersama Make-A-Wish Malaysia: Hadiahkan Senyuman di Hospital Wanita & Kanak-Kanak Sabah

scroll to top