KOTA MARUDU – Arena politik Kota Marudu bakal menyaksikan pertembungan hebat apabila Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil secara rasmi mengumumkan pencalonannya untuk merebut jawatan Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu dalam pemilihan parti kali ini.
Keputusan ini, menurut Zaidi, bukan sekadar langkah peribadi tetapi merupakan komitmen memperkukuh KEADILAN Kota Marudu sebagai wadah utama perjuangan rakyat. Beliau mahu memperkasa jentera parti dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Kota Marudu antara cabang yang paling awal membawa panji reformasi di Sabah. Dengan keanggotaan yang semakin berkembang, peranan cabang ini sangat penting dalam mencorak landskap politik negeri,” katanya.
Sebagai bukti kesungguhan, Manifesto #157 telah dilancarkan baru-baru ini di Hotel Marudu Inn. Manifesto itu merangkumi 1 Visi, 5 Misi, dan 7 Teras yang menekankan strategi pengukuhan organisasi cabang, penolakan politik wang, dan penyatuan akar umbi.
Zaidi juga menyeru agar seluruh anggota KEADILAN Kota Marudu bersatu hati membina pasukan mantap demi melakar perubahan besar dalam PRN akan datang.
Beliau bakal berdepan tiga pencabar sengit iaitu:
- Sazalye Donol Abdullah (Setiausaha MPN Sabah merangkap Ketua Cabang sedia ada),
- Jasmon Jaji, dan
- Jolius Majawai.
Selain aktif dalam politik, Zaidi turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah serta Ahli Lembaga Pengarah Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd.
Adakah Zaidi Jatil mampu mencetus gelombang perubahan di Kota Marudu? PRN17 bakal jadi penentu!
Artikel ini dipetik dan diolah dari Suara Keadilan